Logo sekolah

.: ladangsenama : .: ladangsenama :

Selasa, 25 September 2012

Lawatan Sambil Belajar Ke Kuala Lumpur


LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR
KE KUALA LUMPUR

            Pada hari Sabtu 15 September 2012 yang lalu, JK Lawatan SJK(T) Ladang Senama telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tentang tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur dan jenis-jenis pengangkutan awam yang terdapat di sana.
            Lawatan ini telah disertai oleh 44 orang peserta yang terdiri daripada 28 orang murid dan selebihnya ialah guru dan kakitangan sekolah. Sebelum bas bergerak ke Kuala Lumpur, murid-murid telah berhimpun di perkarangan sekolah terlebih dahulu. Bas mula bertolak ke Kuala Lumpur tepat pada pukul 6.45 pagi mengikut jadual.
            Bas berhenti di kawasan Rehat dan Rawat ( R&R ) Seremban pada pukul 8.00 pagi. Murid-murid telah bersarapan terlebih dahulu di kawasan tersebut sebelum bas berangkat ke destinasi seterusnya.
            Pada pukul 10.45 pagi, bas tiba di KL Sentral. Semua peserta diturunkan di kawasan tersebut. Para peserta perlu berjalan kaki ke Brickfields untuk menaiki monorel ke Bukit Nanas. Setelah tiba di Bukit Nanas, para peserta perlu berjalan kaki ke Stesen LRT Kelana Jaya  di Dang Wangi untuk ke KLCC. Murid-murid berasa teruja apabila pertama kali menaiki Monorel yang bergerak di atas ketinggian separas dengan bangunan-bangunan kedai di Kuala Lumpur. Mereka juga berasa kagum apabila menaiki LRT melalui terowong bawah tanah sehingga sampai di KLCC.
            Setelah tiba di KLCC, semua peserta perlu berjalan kaki menuju ke Aquaria. Perjalanan ke Aquaria berjalan dengan lancar kerana pihak pengurusan lawatan telah membuat tempahan terlebih dahulu. Murid-murid seronok melihat gelagat ikan-ikan yang terdapat di dalam aquarium besar dan perlu melalui terowong bergerak untuk melihat ikan jerung. Bagi mereka, itulah pengalaman yang sangat menarik kerana mereka hanya berpeluang melihat ikan-ikan tersebut di televisyen sahaja sebelum ini. Suasana di dalam aquarium agak kurang selesa kerana terlalu ramai pengunjung yang turut melawat aquaria pada hari tersebut.
            Seterusnya, murid-murid dibawa ke Tugu Negara untuk makan tengah hari. Perancangan awal perlu diubah kerana kawasan sekitar KLCC masih hujan pada ketika itu. Murid-murid dibawa untuk melihat keadaan persekitaran Tugu Negara dan turut sama mengingati jasa-jasa pengorbanan prajurit negara. Selepas itu,Murid-murid juga turut dibawa melawat Muzium Negara untuk melihat tinggalan sejarah negara ini.
            Dalam perjalanan pulang ke Bahau, murid-murid dibawa melihat keindahan lampu-lampu yang berwarna-warni di I-City Shah Alam. Murid-murid berasa teruja apabila bas mula memasuki perkarangan I-City. Bagi mereka, itulah pengalaman pertama kali mereka menjejakkan kami di kawasan yang mempunyai lampu yang berwarna warni seperti terdapat di luar negara. Di I-City, murid-murid dibawa untuk menikmati makan malam di KFC yang berdekatan. Selepas itu, mereka mengambil peluang untuk bergambar di sekitar I-City.
            Murid-murid berasa sangat seronok sepanjang mengikuti lawatan pada kali ini. Bagi mereka, inilah pengalaman yang sangat mereka inginkan. Bagi pihak JK Lawatan, kami berharap agar murid-murid mendapat ilmu sepanjang mengikuti lawatan ini.

Disediakan Oleh                                                                            19 SEPTEMBER 2012

..........................................
(MOHD AMMAR B. HASSAN)
Penyelaras Lawatan,
SJK(T) Ladang Senama